Thursday, November 12, 2009

Part 2: Cinta Si Kasanova?

Part 2: Cinta Si Kasanova?

“KAMU duduk sini, diam-diam. Duit abang sebagai editor majalah, tidaklah banyak sangat. Tteapi, disebabkan abang pernah bimbing kamu di Minggu Penulis Bahasa, abang merasa bertanggungjawab untuk tolong kamu.”

Begitu kata Abang Rahim di Puduraya, Kuala Lumpur.

Amir kelihatan gembira, ada sedikit sebak.

“Sudah, sudah. Jangan buat sedih tidak ketahuan. Angkat beg sendiri, dan mari rasakan Kota Lumpur ini sendiri.” Abang Rahim meninggalkan Amir yang terpinga-pinga di belakang.

Amir berjalan perlahan-lahan mengekori Abang Rahim. Kedua beg besarnya yang digalas dan dijinjing sudah mahu terkoyak zipnya.

Kepala Abang Rahim berpusing. Amir masih jauh di belakang dalam kerumunan dan suasana bising orang ramai.

“Banyak sangat barang yang kamu masukkan, Amir. Ada apa sebenarnya dalam beg kamu, Mir?” Abang Rahim menghulurkan tangan pula, mahu satu beg untuk diangkat.

Amir tersengih. “Buku-buku sikit, bang.”

“Oh, padanlah. Padan nak terkoyak pun.”

Kemudian Abang Rahim berhenti di sebuah gerai di dalam Puduraya. Suara penjual tiket halal dan haram bersepah-sepah kedengaran di telinga Amir.

“Kita minum dulu.” Kata Abang Rahim. Amir mengikut sahaja. Seorang pelayan perempuan yang bibirnya disapu lipstick merah datang menghampiri.

“Makan apa encik?” Kedua bulu mata melentik pelayan perempuan yang menggoda itu memandang Amir. Amir tertunduk, takut. Amir tiba-tiba teringat Hayden.

“Tidak. Kami tidak makan. Minum sahaja. Amir, minum apa?” Abang Rahim yang bersuara sedikit garau bertanya. Amir angkat kepala semula. Pelayan wanita itu agak hairan melihat Amir yang kelihatan segan dengannya.

“Hundred plus, bang. Dengan segelas ais ya.”

Abang Rahim mengangguk. “Aku, nestlo. Bagi aku nestlo panas, okey.”

Pelayan wanita yang kelihatan bergetah itu beredar.

“Betul, kamu mahu jadi pengarang, Amir?” Abang Rahim bertanya.

“Betul bang.” Amir jawab pendek. Sebenarnya Amir terlalu segan dengan pertolongan yang diberikan oleh Abang Rahim. Abang Rahim pernah sebilik dengan Amir waktu program Minggu Penulis Bahasa.

“Ayat-ayat kamu sudah semakin baik.” Suara Abang Rahim begitu perlahan untuk masuk ke dalam telinga Amir.

Amir sudah tidak mendengar. Amir tengah berkhayal. Tengah teringat episod-episod semalam.

Assalamualaykum bang... Saya ini, Amir Iqbal Bin ‘Abdul Rahman. Abang sihat? Saya baru sahaja berhenti kerja. Hmm, nak tulis emel dekat abang ini pun terkial-kial. Rupa-rupanya, saya tidak boleh kerja dengan oranglah, cuma result terakhir ini agak baik, dapat bertahan daripada bulan 5 hingga 7. Saya sekarang tengah siapkan dua tiga buah novel dan lirik lagu. Betulkah apa yang saya buat ini ya?

Petang tadi, saya berhenti kerja. Beberapa bulan dahulu pun, saya berhenti kerja. Bos tidak suruh, siapa pun tidak suruh, tetapi saya berhenti sendiri. Rupa-rupanya, saya tidak boleh bekerja mengikut orang, saya cuma boleh bekerja dengan gaya saya sendiri. Ini, bang, bukan warkah seorang pemalas, atau penganggur. Ini tulisan penuh rendah diri di samping amat menghargai diri sendiri yang berniat mahu bertanya: Bukankah kita saudara?

Apa ya, yang abang boleh tolong saya buat sementara waktu ini? Saya tidak minta duit atau apa-apa. Saya cuma tanya, apa yang abang boleh tolong saudara seagama abang yang berasa sedikit tertekan waktu ini. Saya yakin, cita-cita saya untuk menjadi seorang yang berjuang melalui mata pena akan tercapai. Sekali lagi, saya tidak minta duit atau apa-apa, saya cuma tanya, apa yang abang boleh tolong, orang kecil berjiwa besar, u know me

Daripada Adikmu,

Amir Iqbal ‘Abdul Rahman.

Amir teringat emel yang dihantar kepada Abang Rahim beberapa hari lepas. Abang Rahim, pembimbing Minggu Penulis Bahasa yang bermata bening dan bertubuh kecil itu tidak mengambil masa yang lama untuk membalas.

“Datang KL. Kamu siapkan karya kamu, dan kita jual.” SMS dari Abang Rahim.

Abang Rahim, agak pendiam, tetapi Amir tahu, Abang Rahim bukan diam tin kosong. Abang Rahim, kalau diajak berbual, mesti perbualan itu sarat tentang kehidupan marhaen, perjuangan marhaen, nelayan, penarik beca dan lain-lain lagi serta sedikit falsafah.

“Hey, kamu tidak minumkah? Kita sudah mahu pulang.”

Amir tergesa-gesa minum air hundred plus lalu membuntuti Abang Rahim.

Di rumah Abang Rahim.

“Itu bilik kamu, Amir. “ Abang Rahim menunjukkan sebuah bilik.

Amir masuk ke dalam bilik yang ditunjukkan. “Banyaknya buku-buku falsafah!” Amir jadi teruja seperti budak kecil dapat duit sepuluh ringgit.

Abang Rahim masuk lagi ke dalam bilik Amir selepas sembahyang Isyak.

“Beberapa jam lagi, akan masuk Subuh. Kamu rehatlah dulu Amir, kalau mahu rehat. Kalau kamu mahu terus menulis pun, tulislah. Amir, kalau kamu tidak mahu menulis pun, tidak payah menulis. Tetapi, bila kamu jadi macam itu Amir, ingat balik tujuan kamu datang sini.”

Amir terdiam.

Jeda beberapa lama.

“Abang keluar dahulu ya. Nak air, buat sendiri di dapur.” Kata Abang Rahim.

“Nak karang apa bang?” Tiba-tiba Amir bertanya. “Novel-novel yang saya buat tu, dalam pendrive. Dekat sini tidak ada komputer.”

Abang Rahim mengisyaratkan Amir supaya senyap.

“Amir, dengar sini, hanya orang yang rajin dan kuat berusaha, akan jadi orang yang hebat. Pemalas dan penganggur adalah orang yang rajin mencari alasan. Hanya orang yang rajin dan kuat berusaha, akan mencari jalan. Kamu nak jadi yang macam mana?”

Amir terdiam.

“Terima kasih bang.”

Kemudian Abang Rahim bersuara lagi.

“Saiyid Qutb yang ditahan dalam penjara, Imam Ibn Taimiyah yang pernah kamu sebut dahulu Amir, mengarang pakai apa masa mereka ditahan dalam penjara? Komputer?

“Karanglah apa-apa yang kamu rasa kamu boleh makan. Kalau kamu rasa kamu karang cerita politik, cerita rasuah, kamu boleh hidup, kamu karanglah.”

“Abang karang apa?” Amir bertanya lagi. Sudah tidak timbul segan dalam diri Amir.

Abang Rahim diam, tidak bersuara. Bening mata Abang Rahim hilang selepas daun pintu ditutup. Amir kemudiannya merasakan pintu berharap pada orang sudah tertutup. Tetapi, jalan berjuang di atas kaki sendiri sudah terbentang luas.

Sekaranglah masanya untuk pena aku berjuang!

Pap!

Amir menampar kedua belah pipinya perlahan. “Amir, dengar sini, mulai sekarang, jangan toleh ke belakang. No regret, no turning back.”

Beberapa minit kemudian datang.

“Isy, mata pen masih belum meraba kertas yang masih dara lagi. Macam mana?”

Amir kelihatan seperti sakai yang separuh buntu. Menulis Amir, menulis Amir! Kata-kata itu memukul gegendang telinga Amir beberapa kali.

“Meraba? Bagaimana kalau aku mengarang tentang seorang lelaki kaya yang suka meraba perempuan tetapi akhirnya jatuh miskin semacam aku juga?”

Seorang watak bernama Zulkarnain ditulis di atas kertas.

***
Zulkarnain namanya. Dia kasanova. Waktu kaya beberapa waktu dahulu, Zulkarnain suka clubbing. “Kau buaya.” Kata seorang perempuan yang pernah ditiduri Zulkarnain di ranjang. Zulkarnain tidak kisah waktu itu.

Sekejap tadi, Zulkarnain berada di Masjid India. Malam ini Zulkarnain kena mencari tempat tinggal yang baru. Tempat tinggal lama sudah dipandang pelik oleh ramai orang.

“Kamu ini siapa? Datang dari mana? Ingat saudara, masjid bukan tempat tidur. Masjid ini rumah Allah. Hormat sikit.” Seorang bilal mengingatkan.

Zulkarnain yang terkebil-kebil selepas disergah akibat tidur di dalam masjid, berdiri.

“Dahulu, aku kaya. Pakai BMW. Sekarang, aku pokai, jangan kata BMW, BMX pun aku tidak mampu beli.” Zulkarnain mengeluh seorang ketika berjalan pulang menghadap ke tren.

“Esok pagi, akan datang, sementara aku belum tentu akan ke mana-mana.” Zulkarnain yang berdada bidang, berhidung mancung seperti Hritik Rosyan, pelakon Bollywood mengeluh lagi.

Zulkarnain pening kepala beberapa waktu dahulu. Kemaluannya ada dua bintik misteri. Zulkarnain pernah tanya kepada seorang doktor perempuan yang pakai mekap tebal:

Apa semua ini?

Ini penyakit baru, kata doktor perempuan itu yang juga tertarik hati dengan ketampanan dan kelelakian Zulkarnain.

Habis berpuluh-puluh ribu ringgit Malaysia serta dolar US, Zulkarnain laburkan untuk biayai kos rawatan kemaluannya. Tetap tidak pulih.

“Isy, mati aku macam ini. Entah-entah aku kena aids? Ataupun HIV?”

Sementara itu, ketika itu, ketika Zulkarnain masih belum pokai duitnya seperti hari ini, kegilaan Zulkarnain kepada perempuan amat tinggi. Perempuan sekolah menengahlah, perempuan kerja kilanglah, perempuan baju terdedahlah, terdedah pahalah, terdedah betislah, terdedah dadalah, perempuan pakai tudung tetapi nampak lurah dendamlah, ah, macam-macam lagi jenis serta genre perempuan yang menjadi keketagihan Zulkarnain.

“Cuma aku tidak suka perempuan gedik.” Kata Zulkarnain ketika seorang kawan baiknya memperkenalkan seorang pelakon perempuan yang suka gedik di kaca TV.

Dua tiga minggu kemudian, hari Khamis malam Jumaat, kemaluan Zulkarnain mula ditumbuhi dua lagi bintik. “Ini sudah angka genap!” Kata Zulkarnain terkejut, keesokan harinya apabila terjaga daripada tidur.

Perempuan yang masih memeluk dada Zulkarnain melepaskan pelukannya. “Eh, apa semua ini darling?”

“Syyh! Doktor kata ini penyakit misteri. Penyakit baru jumpa. Ala, macam selesema babi itulah.”

Si perempuan mula menyarung seluar dalam, pakai baju dan seluar, kemudian bergegas pergi selepas menghempaskan pintu. Zulkarnain tidak menyumpah perempuan itu, kerana Zulkarnain seorang yang sukakan perempuan. “Kenapa perlu tekan, tindas mereka? Kita perlu kasihan, membelai perempuan, insan, makhluk yang lemah.”

Malam ketika kemaluan Zulkarnain telah ditumbuhi empat bitik, datang seorang lagi kawan baik Zulkarnain bernama Ah Tan. Ah Tan inilah yang mengajak Zulkarnain menghilangkan keresahan dan kegalauan dengan melampiaskan nafsu kepada perempuan.

Walaubagaimanapun, apek yang bernama Ah Tan ini sudah berbini.

“Hey, Zul, kamu mahukah seorang gadis kampung? Gadis ini, manyak baik maa! Pakai tudung, solehah lagi. Kalau kamu nak, aku boleh aturkan.”

Dalam hati, Zulkarnain menyeranah Ah Tan. Bodoh punya apek. Bukan dia tidak tahu yang aku ada penyakit kemaluan berbintik empat. Nak bagi perempuan pula.

“Macam mana Zul? Kamu mahukah?” Ah Tan memesan Carlsberg (Sejenis minuman keras). Sementara di depan Zulkarnain ada segelas wain merah. Ah Tan menjeling Zulkarnain semacam.

“Eh, yang kamu jeling aku semacam, kenapa? Wain ini bukan aku punya. Hey, aku pun tahu haram, maa!” Zulkarnain bercakap dengan telo seperti Ah Tan.

Ah Tan ketawa kecil apabila Carlsberg yang dipesannya sampai.

“Aku tahu, kamu ini cuma suka perempuan sahaja, arak tidak sentuh maa!”

“Ha, baguslah kamu cakap macam tu. Jangan cakap sebarang maa! Ha, macam mana dengan perempuan solehah yang kamu cakap tadi?” Zulkarnain telah melupakan kemaluannya.

Bunyi muzik dangdut yang dimainkan menyampahkan hati Zulkarnain. “Aku tidak suka bunyi muzik dangdut. Menyakitkan hati.” Zulkarnain bercakap perlahan tetapi tetap sampai ke telinga pelayan pub berbangsa Melayu itu.

“Jom keluar!” Kata Ah Tan sambil menghabiskan Carlsberg sekali teguk.

Bunyi dangdut masih kedengaran di luar pub meskipun kurang jelas.

“Perempuan itu, perempuan susah. Ayah dia pernah kerja dengan ayah aku, masa ayah aku jadi nelayan di Terengganu dua puluh tiga tahun dahulu.”

“Once upon a time…,” Zulkarnain meminta Ah Tan meneruskan ceritanya.

“Isy, kamu ini Zul. Bukan ada cerita apa sangat pun. Aku cuma kasihan dekat kamu sahaja. Kita datang KL sama-sama dahulu, sebatang kara, papa kedana. Kamu dari Tambun Tulang, Perak. Aku dari Kuala Berang, Terengganu. Akhirnya kamu jadi kaya-raya dan aku jadi bisnesman jual VCD cetak rompak. Kamu tolong aku, dan aku pula mestilah kena tolong kamu, ceriakan diri kamu yang sentiasa murung.”

“La, kenapa dengan kamu ini, Ah Tan? Suka sangat ungkit cerita nostalgia zaman dahulu. Aku tidak suka.” Dahi Zulkarnain mula berkerut.

“Kenapa dengan kamu ini Zul? Kamu sudah banyak berubah. Dulu kita tengok VCD blue sama-sama. Sekarang, kamu sudah lain. Tidak. Kamu masih seperti dulu. Masih Tanggang. Tidak fikir kampung lepas datang bandar. Sudah tidak ingat mak, lepas kamu dapat tidur dengan anak…,” Ah Tan naik marah dan membebel.

“Agh.. Cukup!, aku mahu balik.” Zulkarnain bingkas meninggalkan Ah Tan yang masih berdiri menyandar di van hitam putihnya yang ada VCD cetak rompak.

Malam-malam seterusnya berlalu sepi bagi Zulkarnain. Zulkarnain terasa sungguh sepi sekalipun hidungnya mancung dan kacak seperti Hritik Rosyan pelakon Bollywood. “Ah Tan, kamu sibukkah?”

Zulkarnain telefon Ah Tan yang sedang memandu pulang dari Raub, Pahang.

“Oh Zul, Tidak, kenapa Zul? Kamu apa khabar? Lama tidak dengar cerita? Kamu ini Zul, buat aku bimbang sahaja.”

“Kamu ini macam perempuanlah Ah Tan, membebel sahaja. Hehe.”

“Yalah, aku sayangkan kawan aku, itulah yang aku bebelkan dekat kamu.” Kata Ah Tan, membidas rakan baiknya, Zulkarnain secara baik.

“Aku nak jumpa perempuan solehah itu, boleh Ah Tan? Aku sunyilah.”

“Ok. Bisa diatur dong!” Kata Ah Tan dalam pelat Indonesia.
***
“Kamu, Sofea, kamu kena tinggal dengan Abang Zulkarnain tahu. Abang Zulkarnain ini, baik orangnya. Lelaki Melayu terbaik yang saya pernah jumpa.”

Ah Tan berkata kepada Sofea, gadis yang baru datang daripada kampung. Sofea, orang susah. Sofea ada adik beradik sembilan orang. Kesemuanya perempuan. Manakala Sofea yang berumur 19 tahun ini nekad, untuk perjuangan membantu pelajaran adik-adiknya, biarlah dia terkorban meskipun terpaksa menjual tubuh badan.

Mereka berada di dalam hotel 5 bintang. Menanti ketibaan Zulkarnain. Sementara itu Ah Tan tidak mahu mengambil kesempatan terhadap Sofea.

Zulkarnain datang, Sofea dilepaskan. “Jaga dia elok-elok, Zul.”

Sofea yang bertudung labuh, gelap, pudar tetapi ada sedikit wangian, menghidupkan aroma kelelakian Zulkarnain yang telah lama gersang seperti padang pasir dua tiga hari ini.

“Nama abang, Zul. Zulkarnain.” Zulkarnain menghulurkan tangan, mahu bersalam. Salam tidak disambut.

Kenapa? Zulkarnain tertanya-tanya.

Sofea hanya tunduk. Air matanya mula tumpah, matanya merah, basah. Di luar hujan mula turun. Sementara Zulkarnain terkebil-kebil dan merasa serba-salah: Apa salah aku? Aku tidak mengasari dia. Kenapa dia perlu menangis?

Mereka yang berada di dalam hotel lima bintang berasa seperti cacing kepanasan. Sofea pandang Zulkarnain dan Zulkarnain pandang Sofea. Sofea memandang dengan pandangan yang minta dikasihani, sementara Zulkarnain juga memandang Sofea dengan mengasihani tetapi ada sedikit berahi.

“Jangan risaulah, Sofea. Pengawal pencegah maksiat, tidak boleh nak datang punya. Hotel ini tinggi. Mereka tidak boleh panjat punya. Lagipun, jalan yang ada cuma lif. Nak masuk, nak naik lif ke tingkat atas ini pula, perlukan kad. Jangan risaulah.”

Zulkarnain mula menanggalkan baju. Dada Zulkarnain berbulu lebat.

Guruh tiba-tiba berdentum kuat. Kilat kemudian saling sambar meyambar, Sofea mahu mencabar.

“Abang Zul, ya. Saat ini, saya sudah berada di depan mata Abang Zul. Abang Zul, boleh buat apa sahaja pada saya, ya, boleh buat apa sahaja pada saya. Tetapi ingatlah apa yang berlaku pada hari ini, akan ditayangkan semula di Padang Mahsyar nanti.”

Sofea mencabar setelah kilat sambar menyambar.

Zulkarnain terkedu. Ya, Allah, Rabiatul Adawiyahkah yang berada di depan mata aku sekarang ini?

“Baiklah. Meskipun, saya susah, adik beradik ramai, saya sanggup tinggalkan kesemuanya untuk mencari rezeki di Kota Lumpur ini. Sekarang terpulanglah kepada Abang Zul nak buat apa.”

Zulkarnain makin kendur. Kilat menyambar sekali lagi. Cahaya kilat yang berwarna putih membuatkan Zulkarnain terperanjat. Zulkarnain masih ada lagi perasaan berahi mahu membelai kulit halus licin Sofea serta tubuh badan Sofea.

Zulkarnain merapati Sofea. Zulkarnain duduk di tepi Sofea.

“Berkemaslah. Aku hantar kamu pulang. Pasal adik kamu, jangan kamu risau. Aku ada duit yang halal untuk itu. Aku akan bagi kamu semua.”

Sofea terkejut.

Guruh bendentum.

Kilat menyambar lagi di tengah bandaraya. Zulkarnain yang telah miskin, kesejukan. Zulkarnain yang teringat dosa-dosa lampaunya menangis di dalam hujan lebat yang masih berterusan dan kelihatan tidak berkesudahan.

“Abang Zul, abang Zul!!” Suara seorang perempuan menjerit di tengah hujan. Ada seorang perempuan bertudung gelap, pudar bergegas turun dari Chevloret, berlari ke arah Zulkarnain.

“Abang Zul, kan?” Ada bau harum mewangi menusuk lubang hidung Zulkarnain. Perempuan ini, memakai wangian one drop perfumes, menyapa sambil tangan kanan perempuan ini memegang setangkai payung.

Sofea?

1 comment:

  1. hmm.. menarik jugak citer dia ni. part 3 bila nak keluaq?..huhu.

    ReplyDelete