Monday, August 17, 2009

Keperluan Bereksperimental Dalam Pelbagai Bidang.



(Gambar dari Bluehikari.com)


Oleh: Amir Hamzah Akal Ali


Mungkin ada di kalangan kita yang kaget apabila saya seringkali menggunakan perkataan eksperimental. Namun apabila difikir berulang-kali dari berbagai-bagai aspek, adakah itu kesalahan sedang saya mendapati perkataan eksperimental adalah satu perkataan yang paling
sesuai untuk saya mengungkapkan perlakuan ini.

Melihat kepada suasana yang dihadapi oleh gerakan-gerakan Islam dewasa ini saya merasa terpanggil untuk melakukan beberapa eksperimen di kampus. Mudah sahaja perbicaraan hari ini, bukankah AlBanna juga bermula di usia kita? Atau lebih sinis lagi, bukankah gerak eksperimennya bermula lagi awal dari kita?

Drama adalah satu seni. Menurut Abd. Rahim Anbar dalam bukunya Al-Masrahiah Baina al-Nazariah wa al-Tatbiq menyatakan drama lebih hampir dengan kehidupan kerana drama menceritakan tentang kehidupan dari semua bentuk seni; yang dibaca, didengar dan dilihat. Drama mempunyai nilai estetika, bukan sahaja mempunyai nilai hiburan tetapi juga mempunyai nilai pendidikan. Kesemua cerita-cerita atau kisah-kisah ini dilakonkan semula dan mempunyai kesan yang mendalam kepada penonton.

Jadi apa masalahnya di sini?

Pertama sekali perlu diingatkan kepada sesiapa yang menghadirkan soalan di atas akan keperluan berfikir dari berbagai-bagai aspek. Kita tidak mahu disebabkan persoalan kita yang remeh-temeh, sengaja, tidak kritis lantas kita hilang satu perkara yang perlu dalam gerakan Islam.

Saya bukanlah memandang drama dari sudut nafsu saya. Suka saya menyebutkan, saya memandang PKS dari Indonesia yang mahir menanggapi mad'u di sana. Di Indonesia, gerakan Islam dihebatkan lagi dengan orang-orang yang tahu realiti di zaman ini. Mereka di sana
mempunyai teater mereka yang tersendiri. Kalau tidak mempercayai apa yang saya sebutkan sila bertanya pada Kang Abik, pengarang Ayat-Ayat Cinta.

Itu adalah satu hal dari sudut seni. Bagaimana pula dengan nasyid? Saya pernah menonton rakaman tentang konsert nasyid mereka di sana. Menakjubkan! Hati saya tergugah untuk menyaksikan lagi konsert nasyid mereka.

Jadi apa yang mahu dieksperimenkan dengan nasyid? Bukankah Malaysia kita juga hebat dari sudut nasyid?

Suka saya menyebutkan kepada sesiapa yang mengutarakan persoalan seperti di atas. Tidakkah kita sedari apa nasyid yang ingin dibawa penasyid-penasyid Malaysia? Boleh saya katakan nasyid di Malaysia sudah hilang rohnya. Kumpulan-kumpulan nasyid yang menyebarkan nasyid-nasyid jiwang begitu berleluasa di Negara ini. Ditambah pula dengan masuknya unsur-unsur hip-hop dan R&B. Mungkinkah satu masa nanti akanmasuk juga unsur-unsur punk-rock atau ska dalam nasyid di Malaysia?

Ok. Berbalik kepada persoalan drama. Timbul satu persoalan, adakah drama islami adalah satu awlawiyat? Adakah ia satu prioriti berbanding siasah?

Jika ada orang yang menimbulkan persoalan begitu sekali lagi, perlu juga ditanya mana yang lebih penting antara aqidah dan politik? Mana yang lebih awla didulukan? Saya berpendapat aqidah kita tidak sehebat tauladan-tauladan yang lepas yang mana apabila dikatakan arak itu
haram, terus ditumpahkan tong-tong arak. Apabila dilaksanakan Hudud, tiada suara yang mencemuhnya sebagaimana dahsyatnya hudud dicemuh hari ini. Di sini saya tidak mengatakan aqidah kita tidak serupa seperti aqidah pejuang-pejuang Islam yang lepas tetapi aqidah tidak
begitu hebat seperti mana mereka yang lepas. Maka kenapa kita tak menumpukan dulu pada pembinaan aqidah seperti mana yang dilakukan Nabi S.A.W di Mekah selama 13 tahun.

( Sila teguri jika saya tersilap dalam konteks siasah syar'iyah di
Malaysia.)

Satu persoalan yang mahu saya timbulkan kepada peragu-peragu tentang keperluan drama Islami: Andaikata kita masih lagi tidak mendapat daulah dalam10 tahun lagi ataupun 20 tahun lagi ataupun 30 tahun lagi, apa yang kita mahu sajikan untuk orang-orang haraki dan orang-
orang Islam lainnya? Bukankah saban hari kita dihidangkan dengan berbagai-bagai aksi porno dalam tv? Adakah kita plastik yang tak menyedari realiti media sekarang?

Al-Qordhawi tidak mengatakan drama itu haram maka apa kenanya kita yang tidak bangkit mempelopori kesenian ini? Sedangkan seperti yang kita sedia maklum, mad'u terbesar di kalangan rakyat Malaysia adalah orang yang menonton tv. Bukankah setiap rumah di Malaysia sekarang hampir seluruhnya mempunyai tv termasuk orang-orang yang payah?

Saya pernah terbaca tentang rungutan orang-orang yang sedar tentang situasi Malaysia yang diancam bahaya. Kata mereka, mereka takut apabila Negara kita menjadi Negara Islam yang total kegiatan kesenian mereka akan diancam. Semua tak boleh. Di sini disamping meraikan mad'u, adakah boleh kita meminggirkan syariat? Mana mungkin!

Maka di sini apabila tidak dihukumkan drama itu qat'ie haram, apa salahnya gerakan Islam mula berani bereksperimental di kampus. Kita tidak mahu hanya dari sudut politik kita sahaja yang islam, namun dari sudut yang lain kita zero. Ekonomi kita tidak Islam, kesenian kita sekular punya, riadhah kita tidak mencerminkan Islam, adakah itu yang gerakan Islam di kampus mahu?

Satu persoalan yang sinis MESTI ditimbulkan. Kita memukul kuat syiah, namun apabila ditanya mana filem-filem islami kamu? Segera kitaberpaling kepada Iran. Adakah ini wajah kita yang sepatutnya?

Monday, August 10, 2009

Darah, yang masih deras mengalir.

SEMINAR HAL EHWAL UMAT ISLAM ANTARABANGSA

SEMINAR
HAL EHWAL UMAT
ISLAM ANTARABANGSA


PERJUANGAN MENGEMBALIKAN
HAK DAN IZZAH MUSLIMIN

UMAT ISLAM ROHINGYA
BERJUANG HAK KERAKYATAN
DI ARAKAN, MYANMAR


RAKYAT MUSLIM SELATAN
THAILAND MENUNTUT
KEMERDEKAAN SEJAK 1902


UMAT ISLAM MORO ERJUANG
DI MINDANAO UNTUK KEADILAN
DAN HAK ASAL SEAGAI
WILAYAH BERDAULAT


MUTAKHIR UMAT ISLAM DI GAZA

anjuran
TERAS & SHURA

tarikh
15hb OGOS 2009 / 24hb SYA'BAN 1430H

masa
8.00 pagi - 1.30 petang

tempat
Auditorium & Dewan
Muzium Alam Shah
40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan

yuran pendaftaran
YURAN PENDAFTARAN : RM50.00
PELAJAR : RM10.00
yuran pendaftaran termasuk: sesi ucapan
utama, teknikal, pameran, kertas kerja,
makan tengahari, minum pagi dan petang.

Penyertaan Terhad Kepada
200 Orang Sahaja


Pengenalan:

Umat Islam berada dalam kehinaan. Bukan sahaja penjajahan masih belum selesai, malah hak umat terus dicerobohi tanpa pembelaan. Lantaran itu sejarah penindasan dan kezaliman ke atas umat Islam belum lagi berakhir. Malah penafian dan perampasan hak terus berlanjutan sehingga kini. Perjuangan umat Islam di rantau Asia Tenggara ini adalah antara paling lama menentang kuasa penjajah. Soalnya rantai ini yang mempunyai bilangan umat Islam yang paling ramai di dunia, tidak mampu untuk mengakhirkan secara muktamad masalah yang dihadapi sehingga hak dan maruah umat Islam masih belum terbela. Nasib umat Islam Bangsa Moro di Mindanao terus di cengkam oleh regim Manila berlanjutan sehingga 5 orang Presiden. Demikian juga perjuangan umat Islam Pattani, Selatan Thailand belum kelihatan dapat mengeluarkan umat dari penghinaan diperintah oleh kerajaan Siam sejak dari 1902. Juga jika diteliti nasib umat Islam etnik Rohingya yang ditindas oleh regim Junta Myanmar sejak 1962.

TERAS dan SHURA berpendirian bahawa umat Islam perlu disedarkan mengenai bagaimana nasib saudara mereka di luar Malaysia yang bertarung nyawa untuk mempertahan hak mereka. Sikap persaudaraan tulin hanya dapat diterjemahkan jika setiap kaum Muslimin di negara ini sering di dedahkan dengan maklumat dari masa ke semasa. Mereka juga akan menjadi lebih peka serta prihatin juga maklumat yang diperolehi dapat menggerakkan aksi nyata untuk membantu dan bersama dengan perjuangan yang haq seluruh umat Muslimin di rantau ini.

Seminar ini dicetuskan adalah dari titik tolak keinginan mengangkat perjuangan umat Islam antarabangsa ke persada tanah air. Kesempatan yang lebih besar di Malaysia boleh memberi peluang untuk umat mengembleng tenaga dan harta bagi membantu perjuangan umat Islam di peringkat antarabangsa, rantau dan global.

Objektif:

1. Mendidik masyarakat Islam Selangor mengenai kesatuan Ummah merentas sempadan.

2. Menyedarkan masyarakt Islam Selangor mengenai hal ehwal semasa berkaitan nasib umat Islam tertindas di seluruh dunia.

3. Meransangkan masyarakat Islam Selangor mengenai peranan dan tanggungjawab untuk membela umat Islam mustadhafin di seluruh dunia.

Siapa yang perlu hadir:

Terbuka kepada masyarakat umum sekitar negeri Selangor termasuk pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi dan NGO2.


ATURCARA SEMINAR


8.00 pagi : Pendaftaran peserta

8.30 pagi : Majlis Perasmian
- Kata-kata Sambutan
- Bacaan Al-Qur'an

8.45 pagi : Ucapan Pengarah Seminar

8.55 pagi : Ucapan Perasmian Oleh YB Exco Kerajaan Negeri

9.20 pagi : Ucaputama "Kewajipan Umat Saling Membantu Menuntut Hak" -Abdul Ghani Samsudin, Pengerusi SHURA

9.45 pagi : Bicara 1 : "Dari Pembunuhan Di Masjid Kerisik, Kezaliman di Tak Bai Sehingga Tragedi di Masjid Al-Furqan - Apakah Hak Umat Islam Selatan Thailand dapat di bela?" oleh Prof Dr. Nik Anuar (UKM)

10.30 pagi : Jamuan ringan

10.45 pagi : Bicara 2 : "Nasib Umat Islam Rohingya, Myanmar yang tidak di ketahui" oleh Ust. Mohammad Islam, Presiden UNIROD

11.30 pagi : Bicara 3 : "Perjuangan Umat Islam Bangsa Moro Mindanao - Menuntut hak dan Kedaulatan yang dinafikan" oleh Mohd Azmi Abdul Hamid (Koordinator Kempen Citizens International/Presiden TERAS)

12.15 pagi : Bicara 4 : "Perkembangan terkini di Gaza" oleh YB Dr. Syed Azman Syed Alwi (Pengerusi Al-Quds Malaysia)

1.00 ptg : Resolusi "Melakar tindakan dan pengemblengan Umat"

1.30 ptg : Jamuan dan bersurai


Sebarang Pertanyaan Sila Hubungi:

Dr. Syed Jamaluddin : 019-3301055
Hj. Jaliluddin : 012-2109753
Khairul Anwar : 013-6714932

(Dari syazwansafain.blogspot.com)

Tuesday, August 4, 2009

Cerpen: Front Islam, Dengarlah!

Cerpen: Front Islam, Dengarlah. (Tersiar di SIASAH awal tahun 1430 H / 2009 M)

Pengarang: Amir Hamzah Akal Ali




Kamu mahu dengarkah?



Kamu mahu dengarkah?



Nama saya Ali. Suka Muawiyah. Cinta Nabi. Adik saya nama Muhammad, Muhammad Al-Ghazali.



Yeah! Musim panas beberapa tahun lepas, bapa mengajak saya mengikutnya ke sebuah bangunan buruk, usang tetapi berwarna koko, sejenis warna yang cukup saya minat. Gee.



Ah-Ha-Ha-Ha.



Bapa ini memang licik, memperdaya saya dengan 'kegulaan' saya. Hehe. Saya terpedaya, terpedaya dan terpedaya.



Pada hari itu, saya masih ingat lagi jam 3.2.7 petang, Selasa, Jamadil Awal, saya telah sah mendaftar sebagai seorang ahli Front Islam dan mengangkat sumpah di dalam sebuah bilik ( Stor kot. ) yang sederhana kecil dalam bangunan koko itu, tetapi dinding biliknya berbau harum dan berwarna coklat, satu jenis warna lagi yang saya gemari.



Bapa saya pelanggar sistem yang taat, tidak patuh. Bapa saya percaya Qutb adalah penawar, anti virus pada jahiliyyah.



Bapa saya berkata,



Ali,



Dengarlah,



Sistem ini adalah poyo,



Tumbangkanlah ia.



Saya mempercayainya. Saya tidak bersekolah sistem. Jadi saya merdeka. Saya ada 24 jam untuk buat apa-apa sahaja yang saya suka. Tetapi diari ibu saya yang kusam ada berpesan kepada saya,



`tiada berguna orang yang tidak menggunakan masanya dengan berguna.'


Saya menjadi pekerja Front Islam yang abang-abang kandung saya, suka panggil FI.



Saya jadi jurukamera. Tangkap foto orang jahat, buat banner besar-besar dalam blog, saya jadi blogger. Sebulan kemudian setelah selalu menulis tidak kurang sepuluh muka surat penuh Microsoft word dalam sehari,



Penulisan saya mantap! Penulisan kamu mantap dan terbilang! Kata seorang editor apabila mahu membodek saya menjadi salah seorang dari wartawannya.



Editor saya begitu mengkagumi Abu A'la Maududi. Saya cuma panggil wartawan agung itu sebagai Maududi, sahaja.



Saya berkawan dengan Erdogan dan Erbakan. Dua orang pemimpin muda Front Islam yang sedang meningkat naik nama mereka. Erbakan lebih kepada ego. Tidak mahu minta simpati, walau miskin dan selalu sakit tiba-tiba. Toleransi, rambut disisir kemas, bibir merah, berdedikasi, agak liberal dan tidak berkopiah putih adalah ciri-ciri Erdogan.



Saya bersama-sama Erdogan di dalam Cappuccino House sekarang. Menunggu Erbakan yang selalu datang lewat. Mata Erdogan selalu mencuri-curi melihat jam buruk di tangan saya. Sudah hampir empat puluh lima minit saya dan Erdogan menunggu Erbakan.



"Maaf kawan, aku lambat lagi seperti selalu."



Erdogan menarik kerusi mempersilakan Erbakan duduk.



"Maaf, seluar slack aku baru kering. Semalam kena mandi hujan. Air tak ada."



Erbakan berkata-kata apabila saya memandangnya semacam dan Erdogan memandang dengan simpati.



"Keperluan fisiologi rakyat jelata kena dipenuhi lebih-lebih dahulu sebelum yang lain-lain."



Itu kata saya beberapa puluh minit sebelum kedatangan Erbakan. Erdogan mengangguk-angguk sahaja.



Beberapa bulan berselang.



Erdogan mengsms saya, mahu berbincang sesuatu. Teksi memberhentikan saya ke sebuah kelab tari menari. Saya periksa dua kali alamat yang diberikan Erdogan.



Saya masuk lambat-lambat dalam kelab tari menari selepas buka pintu yang berwarna koko itu, saya obsess betullah pada warna koko.



Erdogan berkelip mata kepada saya tiga kali dan saya berkerut empat kali: Erdogan menari?



"Hey, aku tak pegang punggung aktres bernama Monggolia apa." Erdogan duduk dan memesan sesuatu untuk saya.



Saya jadi hiba sebenarnya. Sebenar-benarnya saya simpati dengan orang yang poyo, yang tidak faham erti kepimpinan, erti amanah dan tidak faham apa itu beza pemodenan dan pembaratan.



"Imam Albanna pun tidak seberani kau, yang berani menari tanggo di khalayak untuk mengurat pengundi, untuk mengatakan kau liberal, terbuka kononnya."



Pelayan datang mendulang sesuatu, saya senyum manis dan Erdogan mencuka.



1 Muharram.



Saya jumpa Erbakan. Tertidur di atas pangkin bawah pohon ketapang. Sejadah dilipat-lipat menjadi bantal di kepala. Hehe. Erbakan tidur tak pakai baju. Saya lihat di dahan pohon yang kurus ada sehelai t-shirt pagoda yang comot, lembab. Ada warna kuning, warna yang saya tak gemar.



Erbakan terjaga. "Ah, maaflah."



Saya, ah tak apa-apalah. Di hadapan kami sebuah bangunan baru milik Front Islam. Erbakan adalah buruh binaan. Sama juga dengan bapa saya. Tetapi rasa saya, bapa saya lebih loaded agaknya berbanding Erbakan.



Erbakan malu-malu menutup tubuh badannya yang berotot dan… seksi itu. Sejadah dijadikan pelindung. Kami kemudian makan nasi bungkus dan air sirap yang saya beli.



"Siyasah, bukan tongkat magik yang boleh ting-ting kan semua perkara."



Erbakan mahu memintas saya seperti selalu, ah saya tak benarkan.



"Tak silap saya, meskipun Mahdi Muntazar belum tiba, Khomeini tetap minta umat Islam laksanakan syariat, bukan? Islam itu bukan politik sahaja. Ya, benar, Islam itu syumul, politik ada sekali, tetapi bukanlah Islam itu terkurung di dalam politik, sebaliknya, politiklah yang mesti dikawal oleh Islam, masalahnya di sini, apa kenanya semua kita yang cuma jaga pintu siyasah?"



Erbakan terpinga-pinga, tanda saya terpaksa meneruskan… Dan nasi… Ah terpaksa ditinggalkan.





***



Saya berjalan-jalan di tepi bongkah-bongkah batu besar tepi sungai. Motokar hasil duit simpanan jadi wartawan saya tinggalkan dua ratus meter dari saya.




"Pergilah kau. Kau sudah dibeli agaknya."



Erdogan memandang saya, pura-pura simpati selepas Erbakan menjerit kepada saya. Saya pandang, tak puas hati. Saya kritik, jadi, apa?



"Kita tak sepatutnya pergi berdemonstrasi sahaja. Kita patut melepasi garisan sempadan kepartaian. Kalau kuasa jahiliyyah sekat jalan ini, kita guna jalan lain. Jika jalan lain halang, kita guna jalan lain-lain pula. Boo pada jahiliyyah.



Erbakan berjalan sahaja tanpa bercakap apa-apa. Rona muka Erbakan kelihatan merah, marah?



Erdogan saya kira pura-pura bertanya, gesit.



"Kafir, mereka memang dajal. Setan, setan, setan, bukankah semuanya salah mereka?"



"Salah kita jika segalanya kita salahkan mereka."




Saya berhenti apabila Erbakan berhenti di depan pintu.



Saya meneruskan lebih laju,



"Kafir, sekular, atheis, kapitalis, salib, sosialis nah, bukankah kerja mereka adalah merusakkan kita, apa kita nak kecoh lagi, musuh memanglah jahat, jadi patutkah kita menyangka, musuh baru menyerang kita, semalam?"



Saya masih lagi di sungai tetapi sudah di hujung. Front Islam menjadi pemerintah, tetapi pengisian TV-nya entah apa-apa. Apa, mereka sangka, Islam diturunkan untuk mengurung perempuan di rumah, memukul perempuan dan membiakkan kejahilan?



"Mereka bergaduh, bertelingkah?"



Saya beli suratkhabar mingguan yang bukan mainstream. Erbakan mahu keras kepala dengan idea-idea fundamentalisnya. Sementara Erdogan dengan dasar-dasar pro-liberalnya, lebih moderat.



"Hey, mereka ni, bukan buat kerja Nabi kah? Penyeruan kepada iman?"



Saya menggeleng kepala, laju-laju. Penjual suratkhabar keturunan mamak ini seakan menggigit saya dengan pertanyaan yang menyakitkan.



Beberapa bulan lagi berselang. Waktu pagi.



Saya naik motokar ke pusara bapa. Bapa pengagum Albanna dan Bennabi tetapi orang-orang seperti bapa jarang diambil peduli, orang-orang yang bekerja sebagai buruh binaan, orang-orang intelek yang bergaul dengan masyarakat.



"Bapa tak suka Erbakan bergaduh dengan Erdogan."



Kata-kata bapa dahulu berpusing-pusing di dalam kepala saya apabila saya pandang batu nesan.



"Mereka memang suka bergaduh ke bapa?" Saya bertanya, pura-pura tak tahu.



Bapa yang menarik telinga cawan meletakkan cawan perlahan-lahan.



"Bapa tak kisahlah mereka nak bergaduh. Islam bukan tak benarkan kita bermasam muka. Islam benarkan, tetapi cuma tiga hari."




"Islam benarkan perbedaan pendapat tetapi tak izinkan perpecahan ummat!"



Saya dan bapa sama-sama serentak berkata perkataan-perkataan yang serupa.



Teringatkan bapa, saya jadi sebak. Mata saya berkaca, keluar air.



"Qutb, Bediuzzaman Said Nursi, menyerukan kepada Tuhan, Erdogan dan Erbakan ini, apa yang mereka buat?"



"Popular agaknya." Saya bercakap dengan suara yang lemah, perlahan, hambar. Sebenarnya saya mahu kata mencapap.



"Mata-mata musuh memerhati, ke mana mahu dipacu manusia. Kita tersilap, betul-betul tersilap."



"Maksud bapa?"





"Penyeruan terhadap iman, mana?"



Saya terkebil-kebil apabila menyedari Erbakan menyentuh bahu saya di belakang. Erbakan dan saya sama-sama tak bersuara apa-apa hingga Erbakan yang akhirnya bersuara ketika saya mahu pulang.



"Erdogan yang kau kata, sering kata moderat itu, aku tak boleh bersama dengan dia."




Jadi, apa? Saya tak bersuara. Saya mahu cepat-cepat keluar dari perkarangan kawasan perkuburan. Tengahari mahu muncul, mengusir pagi.



"Aku terpaksa melawan dia dengan idea-idea fundamentalis aku."



Apa, kau ingat, aku tak reti makna fundamental?



"Perpecahan memang tak dapat dielakkan, Erdogan terlalu liberal?"



Jadi, liberal itu salah? Betul-betullah kau ni fundamentalis, keras sangat. Kau ingat Islam boleh tertegak dengan kau mengada-ngada bersifat keras? Kau sangka, liberal jahiliyyah akan terhapus jika kau berambus?



Erbakan memegang bahu saya kuat-kuat, saya kuat-kuat katakan,



"aku tetap berjuang walau aku disisihkan, walau aku tak ada partai, aku tetap akan sepak punggung jahiliyyah."



Dan tengahari pun muncul.