“KAMU mahu kahwin? Berangan. Siapalah yang mahu kahwin dengan orang yang asyik dapat kerja, berhenti kerja, dapat kerja berhenti kerja. Hah, cuba cakap dekat kakak!”
“Leteran akak macam ibu.” Kata Amir pendek. Amir masuk ke dalam bilik tidur. Amir memeluk bantal agak kuat.
“Amir, lepas habis merajuk kamu, kalau lapar, mari ke dapur. Lepas itu, jangan segan cuci pinggan!” Kak Long melaung kuat supaya kedengaran.
Amir mendengar. Aku ini sudah dewasa apa? Sekurang-kurangnya kedewasaan aku sedang menjanin. Aku nak kahwin, salah?
“Jika ada seorang pemuda yang tidak berkeinginan menikah, maka hanya dua kemungkinannya: Banyak bermaksiat atau diragukan kelelakiannya.”
Amir menulis ayat itu besar-besar. Biar kakaknya nampak bila masuk bilik.
Amir tertidur kemudiannya.
“Adik aku yang seorang ini, kalau tidak dibelasah, tidak dipakainya cakap aku. Memanglah dia belajar falsafah dan sastera, tetapi, hidup orang zaman sekarang ini, falsafah dan sastera, boleh beli apa?”
Bebelan Kak Long menjagakan Amir. Amir mendengar bunyi pinggan, cawan, mangkuk dibasuh. “Kak Long tidak penatkah?” Amir yang masih berada di dalam bilik tidur bertanya sendiri sambil berdiri dan mengambil bingkai gambar kedua ibu bapanya yang telah lama pergi meninggalkan dunia.
“Long, Amir ini lain sikit dari abang-abangnya yang lain. Kamu tentu faham maksud kami, Long.”
Kak Long yang sedang membilas pinggan kotor teringat pesan Abah. Kak Long anak perempuan Abah yang sulung. Kak Long belajar tinggi. Belajar sampai ke luar negeri.
“Yalah. Long tahu.” Jawab Kak Long sedikit terasa hati dengan kata-kata Abah.
Amir, Amir, Amir… Kenapa hanya Amir sahaja yang disebut?
Amir adalah anak bongsu dalam keluarga ‘Abdul Rahman dan Fatimah. Meskipun bongsu, Amir seorang yang bercita-cita tinggi.
“Kak Long, Amir keluar dahulu.” Amir menghilangkan diri sebelum Kak Long sempat berpaling.
“Bertuah sungguh, budak Amir ini.” Kata Kak Long.
***
“Abang Amir mahu pergi KL?” Kata Zahirah, perempuan dua tahun muda daripada Amir. Semalam Amir ada beritahu pasal perasaannya pada Zahirah.
“Habis, bagaimana dengan Zahirah?” Zahirah yang comel seperti aktress Hayden Panettiere pelakon siri TV Heroes tunduk. Jari telunjuk kanan Zahirah mencium jari telunjuk kirinya sendiri.
Amir menggaru kepalanya yang sedikit gatal. “Bagaimana? Maksud Zahirah?”
“Yalah. Maksud Zahirah, kalau Abang Amir pergi KL, Zahirah macam mana?” Zahirah memanggungkan kepalanya, kemudian tunduk semula. Wajah Zahirah merah padam.
Soalan Zahirah masih sama sahaja, kata hati Amir.
“Zahirah mahu ikut abangkah, ke KL?” Amir bertanya dengan nada suara yang sedikit kuat meminta kepastian. Angin sepoi-sepoi bahasa meniup lenggok rambut Amir yang sedikit terpacak. Mereka bertemu di pangkin, bawah pohon rambutan.
“Syhh! Abang Amir ini. Cakap tidak reti cover. Bukankah pepatah Melayu ada sebut cakap malam pandang-pandang, cakap siang, ah, apa entah, Zahirah pun sudah lupa.”
Amir tersengih. Mereka sebenarnya baru lepas tuisyen. Amir, seorang anak muda kampung yang suka buat tuisyen percuma bawah pohon rambutan. Sementara Zahirah, anak imam kampung pula, suka belajar dengan Amir.
“Abang Amir mahu Zahirah, kahwin larikah dengan Abang Amir?”
Soalan Zahirah tiba-tiba menggegarkan naluri kelelakian Amir.
***
“Zahirah, Zahirah, kamu sudahlah comel macam Hayden Panettiere.”
“Kamu mengigau Zahirah lagikah, Amir?” Kak Long menggerakkan Amir yang tertidur di ruang tamu. Ada lalat seekor dua masuk ke dalam rumah menyerbu badan Amir yang tidak berbaju.
Amir terjaga dan mendapati Kak Long sedang menonton Buletin Utama. “Apa Kak Long cakap tadi?” Amir menggenyeh-genyehkan kedua belah matanya
Mata Kak Long yang sedang menatap pembaca berita TV3 yang kacak segera beralih kepada Amir. Tangan Kak Long yang putih bersih mulus masih rakus melipat baju. “Kamu mahu kahwin dengan Zahirahkan, Amir?”
Amir tersipu-sipu. Tetapi Amir tidak tunduk. “Isy, Kak Long ini. Mana Kak Long tahu? Kalau betul pun, apa salahnya? Bolehlah saya jadi imam kampung selepas ini.” Amir tersenyum ceria.
“Bertuah punya budak!” Kak Long sedikit geram lalu melontar kusyen ke arah Amir. “Perasan. Kalau kamu mahu dekat dia pun, belum tentu Imam Ali dan Hajah Zainab mahu dekat kamu. Kamu ada apa?”
Amir terdiam. Amir mengeluh berat kemudian masuk ke bilik air untuk mengambil wuduk. “Yalah, aku ada apa?” Kata Amir selepas solat Isyak.
Sementara Kak Long pula yang masih bersimpuh di depan kaca TV mula memarahi dirinya sendiri. “Isy, aku ini pun satu. Cinta, dan suka, apa masalahnya? Aku dahulu pun pernah bercinta.”
***
“Aku anak petani. Manakala Zahirah anak Imam. Aku minat falsafah, Zahirah pula tidak minat falsafah, Zahirah minat aku. Hayden, Hayden…”
Amir yang baru balik dari cyber cafe terus masuk ke dalam bilik tidurnya. Dalam bilik tidurnya yang tidak dikemas dengan baik, bersepah buku-buku tebal dan nipis tentang falsafah.
“Apa kata Islam tentang cinta?”
Dua jam tadi, tepat pukul 10 pagi, Amir pergi ke cyber cafe mencari jawapan tentang cinta. Amir buka blog Hasbollah.blogspot.com: Cinta itu laksana pohon di dalam hati. Akarnya adalah ketundukan kepada kekasih yang dicintai, dahannya adalah mengetahuinya, rantingnya adalah ketakutan kepadanya, daun-daunnya adalah malu kepadanya, buah-buahannya adalah ketaatan kepadanya dan air yang menghidupinya adalah menyebut namanya. Jika di dalam cinta ada satu bahagian yang kosong bererti cinta itu berkurang.
Apabila Allah s.w.t. cinta kepada kita maka seluruh makhluk di langit dan di bumi akan mencintai kita bertepatan dengan hadith dari Abu Hurairah bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:
“Jika Allah s.w.t. mencintai seseorang hamba, maka Jibril berseru, “sesungguhnya Allah s.w.t. mencintai Fulan, maka cintailah dia!” Maka para penghuni langit mencintainya, kemudian dijadikan orang-orang yang menyambutnya di muka bumi.” [Riwayat Bukhari dan Muslim]
Dalam Sunan Abu Daud dari hadith Abu Dzar r.a., dia berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Amal yang paling utama ialah mencintai kerana Allah s.w.t. dan membenci kerana Allah s.w.t.”
Amir tertidur lagi selepas membaca dua tiga buku falsafah.
***
“Kak, Amir pergi KL malam ini. Amir sudah nekad.”
Begitulah sms yang dihantar Amir kepada Kak Longnya yang masih tinggal di rumah nombor 56 Kampung Permatang Durian, Kedah Darul Aman.
“Zahirah, macam mana dengan Zahirah pula?” Amir teringat Zahirah.
Amir sedikit cemas dengan Zahirah, Hayden kesayangannya. Amir berjalan mundar mandir di stesen bas Kulim. Seorang dua pemandu teksi yang menghisap rokok Dunhill memandang Amir dengan curiga.
“Budak itu ada masalah mentalkah?”
Amir tahu, Ibn Mas’ud R.A ada berkata, apabila anda merasa kagum dengan seorang perempuan, ingatlah kejelikan-kejelikannya.
Tetapi masalahnya, cinta dia pada Hayden yang comel bertompok pada kecomelannya yang menawan. Cintanya, ikhlas, suci dan murni!
Amir kemudian duduk di atas kerusi panjang. Beberapa jam lagi, bas ekpress akan datang, menghantarkan Amir ke impiannya selama ini. Amir teringat cerita dua tiga hari selepas mendapat gaji kerja kilang.
“Abang Amir tidak mahu beli telepon dekat Zahirahkah?”
Mereka baru selesai tuisyen. “Buat apa?” Tanya Amir pura-pura kebodohan.
“Iyalah. Abang Amir kan guru? Zahirah pula kan murid? Mestilah kena ada connection.”
Banyaklah kamu punya connection, Zahirah. Zahirah, Zahirah…
Amir berkata dalam hati.
“Abang Amir takut, nanti, Zahirah banyak sangat connection.” Amir memegang handle basikal BMX, tanda mahu bersiap untuk pulang.
“Hai Amir, tidak makan dulukah?” Kepala Hajah Fatimah kelihatan di jendela.
“Abang Amir, mak panggil masuk.” Zahirah yang wajahnya comel macam Hayden menggalakkan lagi. Naluri kelelakian Amir ketika itu terusik lagi dua tiga kali. Hayden, lain yang mak kamu cakap, lain yang kamu tafsir.
“Tidak mengapalah makcik. Saya kena pulang dulu. Nanti Kak Long bising pula.”
Amir memijak pengayuh BMXnya lalu mula mengayuh perlahan.
“Abang Amir, sekejap!” Zahirah berlari anak, mendekati Amir yang masih belum hilang dari perkarangan rumahnya.
Hayden, Hayden…
Naluri kelelakian Amir menggigil lagi.
“Ada apa Zahirah?” Amir memaniskan roman mukanya seperti selalu.
“Esok, nyanyikan lagu merpati putih, OAG ya. Hari itu kan sudah janji?”
Zahirah mengingatkan sambil mengenyit mata kepada Amir kemudian Zahirah berlari masuk ke dalam rumah.
Amir tersedar selepas lamunannya diusik oleh pakcik pemandu teksi yang berperut buncit. “Kamu, dari tadi pakcik tengok, sekejap berkhayal, sekejap senyum seorang, kamu ada masalah apa? Sakit mental?”
Amir menggeleng. Azan Maghrib hinggap di telinga Amir. Amir mengambil air wuduk kemudian masuk ke dalam musolla.
“Kamu boleh jadi imam?” Seorang lelaki berkopiah merah hati bertanya.
Amir mengangguk sambil pandang beberapa orang lelaki dan seorang budak kecil yang memperhatikan Amir.
“Ya.” Amir pun mengimamkan solat Maghrib. Berbelas-belas minit kemudian, Isyak datang. Amir jadi imam lagi.
Isabella adalah… Kisah cinta dua dunia… Mengapa kita berjumpa???
Namun akhirnya terpisah… Siang jadi hilang… Ditelan kegelapan malam…
Alam yang terpisah… Melenyapkan sebuah kisah...
Nada dering telefon bimbit Amir menyanyi. Amir pun melayan sekali.
“Hey, bila mahu rukuk?” Suara seorang budak kecil mengganggu Amir.
Amir baru tersedar. Rupa-rupanya dia masih menjadi imam.
Mereka sembahyang kemudian sekali lagi. Tetapi diimamkan oleh seorang lelaki dewasa yang kelihatan sedikit serius. Amir dengan rela hati, pasrah menjadi makmum.
Usai sembahyang Isyak secara berjamaah, lelaki dewasa yang menjadi imam sebentar tadi menarik lengan Amir.
“Sekejap saudara. Saya ada perkara untuk dicakapkan.”
“Eh, apa pula?” Amir mahu memberontak. Stoking yang mahu dipakai, terlucut dari tangan. Amir tidak jadi memberontak apabila lelaki itu kelihatan lebih besar dan agam tubuh badannya berbanding dengan Amir apabila duduk berdepan.
“Saudara orang Islam?”
Bukankah aku solat tadi? Tentulah aku Islam!
Jeritan Amir terlekat di celah kerongkong.
“Ya, saya seorang Islam, bang. Ada apa?”
Amir memberanikan diri, bertanya.
“Saudara, orang Islam sepatutnya, menjaga hubungan dengan Tuhan. Apabila dalam sembahyang, dalam surau pun, kita dengar, fikir benda yang bukan-bukan, saudara rasa patutkah?”
Amir menggeleng kesal. “Tidak patut bang.” Amir tunduk tanda insaf.
Bas ekspress datang. Hayden tiba dalam kotak fikiran Amir. Amir mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Hayden kesayangannya.
“Sampai hati, Abang Amir buat Zahirah macam ini.” Zahirah menangis.
Amir yang menelefon telefon rumah keluarga Imam Ali jadi terkedu.
Apa salah aku?
Esak Zahirah makin menjadi-jadi.
“Sabar Zahirah, sabar…,” Amir mencuba menyabarkan. Amir yang sudah masuk dalam perut bas ekspress memasukkan beg besarnya ke tempat letak beg, atas kepalanya.
“Sabar apa? Abang Amir minta putus, ingat Zahirah boleh sabar?”
Telefon dimatikan.
Thursday, October 29, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
cerita ni mungkin ada di alam realiti dan sesuai untuk di angkat,keinginan hati amir utk berkahwin dgn keadaan diri yg masih tidak terurus sgt mensiniskan sekali dalam kisah ini,pinggan magkuk lepas mkn pun perlu di basuh org lain,bilik yg bersepah,menunjukkan ketidakmatangan amir dalam hidupnya,paling malang dalam solat amir boleh khayal! bagaimana mahu kawin klu masih belum matang pemikiran dan tingkah lakunya? amir perlu sentiasa muhasabah,termasuk "amir-amir" di luar sana,saya percaya ramai yang masih begini,suka membaca pelbagai idealogi yang berat2,tapi pengurusan diri yang ringan semacam terpaksa ada pembantu? amir masih belum layak utk berkahwin,jika amir adik saya,saya akan cuba membuka mindanya untuk melihat dirinya dengan lebih halus,sehalus-halusnya..ya,sehalus-halusnya,krn kita tidak mahu perkahwinan yang mulia itu menjadi fitnah
ReplyDelete