ABANG Rahim dengan selamba mengeronyokkan kertas-kertas kajang yang ditulis Amir.
“Kenapa bang? Kalau tidak puas hati pun, takkanlah sampai ronyok macam ini?” Amir menjadi bengang dan tidak berpuas hati.
Abang Rahim menambahkan bengang Amir lagi. Abang Rahim memasukkan kertas kajang yang dikeronyok itu ke dalam bakul sampah berwarna biru muda.
Abang Rahim keluar dari bilik studinya melalui Amir yang masih berdiri di hadapannya yang menahan marah. Tangan Amir menggeletar tanpa Amir sedari. Abang Rahim masuk ke dalam bilik sambil menghidang dua cawan kopi dan nasi lemak.
“Sarapan pagi dahulu.” Kata Abang Rahim.
Amir duduk di meja makan yang berada di dalam bilik Abang Rahim.
“Tidak, maksud abang, kamu pergi ambil air sembahyang dahulu. Jangan marah, diam. Kamu kata kamu mengaji pondok dahulu? Jangan kata, pondok tidak ajar perkara ini pula. Pergi.” Abang Rahim mula naik angin.
Amir yang sedikit meluat terpaksa menuruti kehendak Abang Rahim.
“Baca doa.” Suruh Abang Rahim kepada Amir.
Amir baca doa. Doa pendek. Semasa mereka makan, kedua mereka diam sahaja. Cuma mata Abang Rahim tidak diam, matanya meliar memandang kedua belah mata Amir yang sepet kecinaan tetapi bersemangat tinggi.
Selepas basuh pinggan dan gelas plastik, Amir mahu keluar dari bilik Abang Rahim.
“Ai, mahu ke mana? Mari sini sekejap. Ada perkara yang abang nak cakap sedikit. Kamu ini Amir, pantang dicabar, merajuk.”
Sindiran Abang Rahim sedikit menjengkelkan telinga Amir. Tetapi Amir bersabar sahaja.
“Masa di Minggu Penulis Bahasa itu, kamu kata, kamu nak jadi macam Iqbal? Sasterawan agung India, yang memecahkan benua India dan menerbitkan bumi Pakistan. Bukan kamukah yang cakap macam itu? Atau aku yang silap dengar?”
Amir terdiam sejenak. Kemudian Amir berhenti diam. Bibir Amir bergerak-gerak.
“Ya. Memang saya pun, yang kata nak jadi macam Iqbal, kenapa? Apa masalahnya?”
Abang Rahim sedikit tersenyum, lalu meramas-ramas dagunya yang ada sedikit janggut. “Habis, karya kamu semalam, layak dikata Iqbalkah?”
“Maksud Abang Rahim?” Amir masih tidak faham.
“Kamu sentuh pasal rabalah, paha terdedahlah, ah, pendek kata, kasanovalah. Kamu ingat, Iqbal ini, pujangga apa?” Abang Rahim senyum sinis dengan nada suaranya yang diangkat sedikit tinggi.
“La, sejak bila pula saya kata, Iqbal ini, kasanova?”
Abang Rahim diam. Mahu mendengar lebih teliti hujah Amir.
“Saya pun tidak kata watak Zulkarnain itu mewakili saya atau Iqbal. Tetapi, saya berpegang pada prinsip, manusia itu tidak maksum. Maka Tuhan, yakni Allah memunculkan insan yang maksum untuk menyucikan manusia yang tidak maksum.”
Huraian Amir sedikit lebar walaupun Hayden tiba-tiba singgah di mindanya.
“Okey. Kamu boleh masuk ke dalam bilik. Boleh buat dan sambung semula karya kamu. Atau, kamu boleh buat cerita lain. Kamu, bagus.”
Selepas Amir memungut karyanya yang masih berada di dalam tong sampah, Abang Rahim terfikir seketika.
Manusia itu tidak maksum, bermaksud, manusia itu tidak suci dan berbuat dosa. Mungkin juga ada dosa kecil, dosa besar, menari dengan perempuan kabaret, tidur dengan perempuan, mencuri VCD cetak rompak, namun, Tuhan yakni Allah telah memunculkan insan yang maksum, yakni para Rasul untuk membimbing manusia.
Abang Rahim menarik nafas kemudian melepaskannya sambil memegang sebatang pen dan tersenyum.”Inilah pelajaran hari ini.”
Sekembalinya Amir ke dalam biliknya yang ada lampu kalimantang, tilam usang, katil besi yang sudah berkarat dan sebuah meja studi serta kerusi, Amir meniarapkan batang tubuhnya di atas tilam. “Bagaimana Hayden sekarang?”
Zahirah yang duduk di rumah pula asyik tidak dapat duduk diam. Tadi, lepas bagi ayam makan di reban, Zahirah masih tidak senang hati.
“Abang Amir ingat, dia siapa? Senang-senang sahaja nak putuskan dengan orang. Ah, tidak ada masa. Abang Amir tetap, Abang Amir aku.” Zahirah mengomel sendirian ketika menabur dedak.
Seekor ibu ayam berak. Baunya begitu busuk hingga menyebabkan kepala Zahirah terhentuk dengan kayu reban. “Isy, ayam ini, sembelih baru tahu.”
Imam Ali baharu sahaja pulang dari masjid. Selepas Vespanya diletakkan di garaj, Imam Ali ternampak pangkin bawah pohon rambutan. Di situlah bermula waktu Dhuha, Amir akan mengajar anak-anak qaryah yang mahu belajar secara percuma.
“Tetapi, sekarang dia sudah tidak ada kan, abang.” Hajah Zainab menepuk perlahan bahu suaminya. Hajah Zainab mahu menjemur baju. Timba yang sarat dengan baju diletakkan di bawah.
Sementara itu, Zahirah yang sedang comot dengan tahi ayam sedang mengejar seekor ayam jantan yang telah mengganggu seekor ayam betina.
“Abang ingat lagi arwah ‘Abdul Rahman dan bininya, Fatimah. Mereka berdua ini, orang baik-baik. Sama juga dengan anaknya, si Amir, Kak Long dan dua tiga orang lagi. Mereka ini, keluarga yang nak kata ramah sangat itu, tidaklah. Nak kata berparti itu, berparti ini itu, tidaklah. Tetapi, kalau ada kecemasan, ada keperluan apa, terdesakkah apa, mesti, keluarga mereka ada dekat situ.”
Hajah Zainab tidak jadi menjemur baju. Cerita Imam Ali agak menarik.
“Pernah satu ketika dahulu, waktu saya tidak kahwin dengan awak lagi, berlaku banjir area Kampung Naga Lilit, keluarga mereka tampil sekali. Yang agak pelik sikit, mereka bawa Amir, Kak Long dan anak-anak mereka yang lain, yang ketika itu masih kecil lagi.
“Orang tanya, kenapa kamu berdua, bawa anak-anak kecil sekali kalau mahu tolong pun dekat kawasan banjir? Dua orang itu jawab, kami nak bagi mereka semua ini rasa semangat sentiasa mahu tolong orang.”
Mentari mula naik perlahan-lahan.
“Abang setujukah dengan cara itu, waktu itu?” Hajah Zainab bertanya.
“Tidak. Abang tidak setuju langsung. Tetapi tidaklah kita bantah, dan bagi kelam-kabut keadaan macam itu sahaja. Kita jagalah dekat tempat yang arwah berdua itu jaga. Senang kalau jadi apa-apa, kita boleh tolong.”
“Mak dengan ayah, kenapa? Dari tadi bercakap. Baju tidak jemur lagi.” Zahirah bertanya sedang dalam masa yang sama, terlekat di baju kurungnya bulu-bulu ayam dan bau tahi ayam.
“Isy, busuknya kamu Zahirah!” Kata Hajah Zainab. Imam Ali hanya menutup hidung.
“Mak ayah bincang apa?” Tanya Zahirah lagi
“Bincang pasal kamu.” Kata Imam Ali singkat sambil menarik beberapa bulu ayam yang terlekat di baju kurung Zahirah.
“Bincang pasal Zahirah? Bincang apa, ayah?”
“Ayah nak kahwinkan kamu.” Imam Ali berkata dengan raut wajah yang serius.
“Hah!” Zahirah begitu terkejut.
***
Mentari sudah meninggi di kotaraya. Amir tertidur selepas solat Dhuha.
“Abang Amir sukakan, Hayden.. eh, eh silap. Abang Amir sukakan Zahirah.” Amir memberanikan diri.
Abang Rahim mengetuk pintu bilik Amir. Tuk, tuk.
Tuk, tuk.
Tiada jawapan. Abang Rahim membuka pintu. Didapatinya Amir sedang tertidur. “Tidur pula dia.”
Abang Rahim memunggah kotak-kotak berwarna coklat dan beberapa fail di bawah katil. Selepas menjumpai barang yang ingin dicarinya, Abang Rahim ternampak foto sebuah keluarga.
“Ini bukan keluarga Amir.” Terluncur kata-kata itu keluar dari mulut Abang Rahim.
Seorang lelaki berserban putih, seorang perempuan sebaya lelaki itu bertudung labuh, tidak bermekap, serta seorang perempuan sebaya Amir kelihatan di foto itu.
“Hayden, Hayden…,” Kedengaran dari mulut Amir yang masih tidur.
“Mengingau pula.” Abang Rahim menutup pintu.
Amir masih di dalam mimpinya.
“Abang Amir sukakan Zahirah. Abang Amir nak memperisterikan Zahirah. Tidak mahu couple. Couple ini tidak elok. Kahwin ini, masjid.”
Amir melihat Zahirah merah padam. Entah menahan malu, entah suka, atau tidak. Hayden, Hayden, jawablah. Jangan diam sahaja, kata hati Amir.
“Begitu juga dengan Zahirah.” Zahirah tertunduk malu. Pipinya yang putih keputihan berubah merah kemerah-merahan. Zahirah kemudian berlari anak untuk masuk ke dalam rumah. Di depan Zahirah ada tunggul. Dengan menutup mata kerana keseronokan naluri keperempuanannya mula terusik oleh lelaki yang menjadi kekagumannya, Zahirah berlaga tunggul dan terjatuh.
“Zahirah!” Amir menjerit dari jauh melihat Zahirah yang jatuh.
Zahirah mahu menangis seperti budak darjah satu yang terjatuh basikal minta dibelai. Tetapi apabila melihatkan ibunya pun keluar dari rumah, didiamkan sahaja mulutnya. Amir menghampiri.
“Kenapa ini, Zahirah? Amir?” Hajah Zainab bertanya sambil memegang pisau dapur. Amir kelihatan menggigil, pisau dapur?
Hajah Zainab terperasan kegigilan Amir. “Makcik baru siang ikan tadi. Ini kenapa, Zahirah? Sampai terjatuh-jatuh?” Hajah Zainab mencari jawapan.
“Zahirah berlaga tunggul.” Serentak keluar dari mulut Amir dan Zahirah.
Zahirah kemudian terkekeh selepas Amir pulang.
Amir bangun daripada tidur.
“Hah. Dapat juga aku jumpa Hayden aku dalam mimpi.”
Masih ada tiga jam lebih sebelum waktu Zohor menyapa.
“Baik, sama ada aku nak sambung semula cerita Zulkarnain itu, atau aku matikan watak Zulkarnain dan hidupkan watak lain, atau bagaimana?”
Saat ini, Amir sudah macam orang gila kerana bercakap seorang diri.
Zulkarnain, Zulkarnain…
Kedengaran nama Zulkarnain disebut di dalam lubuk hati Amir.
***
Zulkarnain, pulang ke rumah Sofea malam itu.
“Abang, tinggallah di rumah ini ya? Saya nak tinggal dekat rumah mak, tidak jauh dari sini. Dekat Cheras.”
Zulkarnain tidak mengangguk dan menggeleng. Zulkarnain masih lagi kesejukan selepas mandi. Zulkarnain masih tidak berbaju, hanya bertuala sahaja.
“Abang, janganlah tengok Sofea macam nak makan sahaja. Sofea tetap ingat abang, sekalipun kalau nanti, abang tidak ingin pun makan Sofea. Sekarang, Sofea mahu balik dulu. Tidak manis kalau orang nampak.”
“Tuhan nampak, Sofea.” Kata Zulkarnain pendek sambil tubuh badannya yang sasa masih menggigil. Entah berahi ataupun kesejukan.
Selepas Sofea pulang, Zulkarnain solat Isyak. Kemudian disambung dengan solat sunat yang lain. Solat sunat Taubat berkali-kali, solat sunat hajat, solat sunat Tahajud dan solat-solat lain lagi.
Tidak kedengaran bunyi ayam berkokok meski jam sudah 5.30 pagi di bandaraya. “Agak-agaknya, semua ayam sudah kena beli.”
Zulkarnain baru terfikir. Kenapalah aku bodoh sangat ya? Kenapa semua harta aku yang halal aku cari selama ini, aku bagi kepada seorang gadis kampung yang susah?
Siapa Sofea? Dia bukannya apa-apa pun dalam hidup aku, sentuh aku pun tak pernah, kenapa berhak dapat duit aku pula?
Azan Subuh datang. Suara Bilal kedengaran syahdu.
Zulkarnain sembahyang sunat Subuh. Selepas sembahyang fardu Subuh, dia berhasrat mahu membuat sesuatu. Mana boleh aku kekal miskin dan Sofea kekal kaya!
Zulkarnain terpandang di atas rak buku yang kecil di dalam bilik solat, ada novel berwarna merah dan ada gambar seorang perempuan.
“Atas Nama Cinta?” Nama novel Isa Kamari yang hebat itu, keluar dari mulut Zulkarnain.
“Aku pun sudah lama tidak baca novel.” Tangan Zulkarnain mula meramas dada Atas Nama Cinta.
***
“Baiklah, kamu sudah baca Atas Nama Cinta?” Abang Rahim tidak mengeronyok lagi cerita Zulkarnain yang ditulis atas kertas kajang.
“Adalah sedikit. Tetapi tidak habis. Lagipun, buku itu, kawan saya punya.”
Amir menjawab. Ada sedikit kegembiraan terpancar di wajah Amir kerana Abang Rahim menghargai apa yang dibuatnya sebelum Zohor tadi.
“Kamu, masuk dalam perpustakaan aku sebelah dapur itu. Cari Atas Nama Cinta, Isa Kamari. Oh ya, lagi satu, bancuh teh o ais limau untuk aku. Ais dalam peti sejuk tingkat atas.”
Amir mengangguk mendengar arahan. “Baik bos!”
Tuesday, November 17, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment